KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,seramai 2,267 pelajar tajaan Petronas menerima kenaikan elaun berkuat kuasa serta merta.
Jelas beliau, kenaikan itu meliputi elaun buku dan peralatan belajar daripada RM1,000 kepada RM1,500 untuk pelajar di Malaysia dan tambahan RM500 untuk pelajar di luar negara.
Katanya, bagi pelajar yang baru menerima penajaan Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) pula, elaun induksi atau onboarding allowance dinaikkan daripada RM4,500 kepada RM5,000.
“Kenaikan kedua-dua elaun ini mengambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi dan bantuan ini diharap dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa seterusnya memudahkan proses pembelajaran pelajar.
“Tajaan ini diharap dapat mendorong anda semua mengorak melangkah lebih jauh untuk menggapai cita-cita dan pulang dengan kejayaan serta seterusnya menabur bakti kepada industri dan negara yang tercinta,” katanya.
Ini adalah jumlah tajaan tahunan tertinggi oleh Petronas dengan nilai pelaburan melebihi RM340 juta.
Penerima tajaan bakal melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, geosains, ekonomi, undang-undang serta kursus lain berkaitan industri di Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta universiti-universiti tempatan dan luar negara seperti di Australia, China, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Petronas juga memperluas penajaan pendidikan yang merangkumi disiplin seperti sains komputer, kejuruteraan perisian dan teknologi maklumat dalam menyediakan bakat serta tenaga kerja bagi landskap Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).
Sejak 1975, lebih 37,000 pelajar cemerlang Malaysia termasuk 1,720 yang sedang mengikuti program itu telah mendapat manfaat daripada tajaan bernilai lebih RM3.5 bilion.