TUARAN: Seorang remaja perempuan maut manakala seorang lagi terselamat selepas kedua-duanya dikhuatiri hilang ketika mandi-manda di Pantai Tanjung Badak, di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 3.59 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran tiba di lokasi kira-kira 4.28 petang.
Menurut laporan, kedua-dua mangsa berusia 15 tahun dipercayai sedang berkelah sebelum dihanyutkan arus.
Seorang mangsa berjaya ditemui orang awam dalam keadaan selamat dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan EMRS.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan menggunakan kaedah pencarian permukaan air di sekitar lokasi mangsa terakhir dilihat.
Mangsa kedua ditemui pada jam 5.08 petang sebelum dibawa ke kawasan selamat dan diberikan bantuan pernafasan (CPR).
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang melibatkan 11 anggota BBP Tuaran bersama bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.07 petang.






