Lelaki Warga Emas Maut Terkena Renjatan Elektrik di Tawau

Lelaki Warga Emas Maut Terkena Renjatan Elektrik di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Taman Kinabutan Ria, di sini, pada Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi NG999 pada jam 6.09 petang.

Katanya, tujuh anggota bersama sebuah jentera dari BBP Tawau digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.25 petang dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan tertiarap di atas tanah serta tidak sedarkan diri.

Bomba kemudian meminta bantuan pihak Sabah Electricity (SE) untuk memotong bekalan elektrik di kawasan kejadian bagi membolehkan mangsa dibawa keluar dengan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jemishin berkata, mangsa kemudiannya diperiksa oleh pegawai perubatan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi diketuai PBK I Zougarana Konin dengan kekuatan tujuh anggota serta turut mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.42 malam,” katanya.