KOTA KINABALU: Sebanyak 1,191 insiden vandalisme dan gangguan melibatkan infrastruktur telekomunikasi di Sabah direkodkan dengan kerugian dianggarkan RM17.3 juta, berdasarkan laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kes vandalisme dan kecurian kabel, bateri serta komponen rangkaian bukan sahaja menyebabkan kerugian aset, malah memberi kesan langsung kepada rakyat apabila perkhidmatan telekomunikasi terganggu.
“Yang terputus bukan sekadar kabel. Yang terputus ialah hubungan rakyat dengan perkhidmatan yang mereka perlukan,” katanya ketika merasmikan Program Taklimat “Memutuskan Rantaian Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi: Dari Tapak ke Pasaran” anjuran MCMC, di sini, hari ini.
Menurut James, gangguan telekomunikasi boleh menjejaskan pembelajaran dalam talian, urusan perniagaan, transaksi digital, perkhidmatan kerajaan serta komunikasi ketika kecemasan, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.
Beliau berkata, usaha menangani masalah itu tidak boleh hanya tertumpu kepada pencuri di tapak, sebaliknya perlu merangkumi keseluruhan rantaian termasuk pasaran yang menerima kabel, bateri, logam dan komponen telekomunikasi yang dicuri.
“Kalau kita benar-benar mahu memutuskan rantaian ini, kita bukan sahaja perlu memburu pencuri di tapak, kita juga perlu menutup ruang yang membolehkan barang curi itu masuk ke pasaran,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu kerjasama antara MCMC, Kerajaan Negeri, agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan, agensi utiliti dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi diperkukuh menerusi perkongsian maklumat, risikan serta pengenalpastian lokasi berisiko.
James turut mengingatkan bahawa Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berkaitan mengusik, mengalihkan, memusnahkan atau merosakkan kemudahan rangkaian.
Katanya, Kerajaan Negeri akan terus menyokong pembangunan infrastruktur digital, namun aset sedia ada perlu dilindungi supaya peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk memperluas liputan dan meningkatkan kualiti rangkaian tidak terpaksa digunakan berulang kali untuk menggantikan aset yang dicuri atau dirosakkan.
“Ini bukan hanya soal menjaga menara atau kabel. Ini soal menjaga hubungan, menjaga peluang dan menjaga masa depan rakyat Sabah,” katanya.






