TAMBUNAN: Lebih 500 ahli terdiri daripada bekas anggota Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), bertindak keluar parti untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tambunan hari ini.
Daripada jumlah itu, kira-kira 300 ahli adalah daripada enam cawangan Star diketuai bekas Ketua Kempennya, Patricia Yusuf ,manakala 120 lagi merupakan ahli Warisan diketuai Muhadi Amin yang juga antara pejuang awal parti berkenaan di kawasan itu dan selebihnya daripada PKDM.
Borang keahlian masing-masing diserahkan kepada Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah – Tambunan ,Dato’ Victor P. Paut dalam satu majlis yang diadakan di Kampung Tondulu, di sini pada Sabtu.
Bagi Patricia, keputusan meninggalkan parti masing-masing dibuat selepas mereka hilang keyakinan terhadap hala tuju serta kepimpinan parti terdahulu, selain prestasi kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor ,serta komitmen kepimpinan PGRS di kawasan itu menjadi antara faktor utama mendorong mereka menyertai PGRS.
Beliau berkata, rakyat perlukan pemimpin yang sentiasa bertanggungjawab, prihatin dan bersedia bersama masyarakat, terutama ketika berdepan kesukaran serta memerlukan bantuan.
“Secara peribadi, saya melihat bagaimana komited dan prihatinnya kepimpinan Kerajaan Negeri serta kepimpinan PGRS Tambunan yang sentiasa ‘turun padang’ untuk bertemu, mendengar keluhan dan keperluan rakyat.
“Maksudnya, sanggup bersama masyarakat pada waktu susah dan senang.
Ketika masyarakat memerlukan seorang pemimpin untuk hadir bersama mereka, dia ada waktu untuk itu.
Itu yang menarik perhatian saya serta rakan lainnya untuk menyertai parti ini,” katanya.
Ketika ditanya jika tindakan kumpulan itu akan menjejaskan Star sebagai sebuah parti dominan di kawasan itu, Patricia percaya penghijrahan lebih 300 ahli parti itu sedikit sebanyak akan memberi kesan dan pada masa sama mengukuhkan kedudukan PGRS Tambunan.
Menurutnya, perkembangan berkenaan dijangka menjadi permulaan kepada lebih ramai ahli parti itu dan lain untuk menyertai PGRS, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Sekiranya semua bersatu hati, saya yakin mungkin ada ‘goncangan’ berlaku dalam Star selepas ini,” tegasnya yang turut bertekad akan membantu untuk pastikan GRS menguasai kawasan Parlimen Keningau selepas ini.
Sementara itu, Muhadi yang ditemui berkata, beliau dan rakan-rakan memilih PGRS kerana percaya hanya kerajaan yang kukuh mampu memastikan agenda pembangunan Sabah dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Katanya, GRS dilihat mempunyai kemampuan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat kerana mempunyai kuasa pentadbiran bagi melaksanakan pembangunan.
“Mereka (Warisan) tidak boleh buat apa-apa sama ada untuk memajukan Sabah ataupun membela rakyat kerana tidak ada kuasa.
Kalau sekadar bercakap saja tiada guna kerana apa pun perlukan kuasa,” katanya sambil menegaskan pendekatan kepimpinan PGRS Tambunan yang sentiasa turun padang dan mendekati rakyat turut menarik minat beliau menyertai parti itu.
Menurutnya, rakyat kini mahukan pemimpin yang bukan sekadar berada di pejabat, sebaliknya sanggup masuk ke kampung bagi meninjau sendiri masalah dan keperluan masyarakat.
“Kita mahu pemimpin yang sentiasa turun padang, bukan sekadar duduk di pejabat tetapi tidak masuk kampung untuk meninjau keperluan rakyat.
Mana-mana rakyat pun tidak mahu ada pemimpin seumpama itu,” tegasnya.
Majlis yang berlangsung di Dewan Terbuka Angkangon Tondulu itu menyaksikan penyerahan borang-borang keahlian yang datang daripada 12 buah kampung atau cawangan yang terlibat iaitu Kg Kipaku, Mukim Kirokot, Nupakan, Dalab Lintuhun, Toboh, Bambangan, Lintuhun, Tombotuon, Rompon, Kalasasan Mogong dan Molout Sunsuron.






