KOTA KINABALU: Pihak berkuasa digesa memperketat kawalan di semua pintu masuk Sabah bagi mengekang kemungkinan kemasukan dadah sintetik baharu dikenali sebagai ‘blackout’ atau ‘zombi’ yang dilaporkan sudah memasuki pasaran gelap negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, walaupun setakat ini belum terdapat laporan kes membabitkan bahan berbahaya itu di Sabah, langkah pencegahan awal perlu dilakukan terutama di pintu masuk dari negara jiran.
Beliau berkata, pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia perlu terus mengawasi pintu masuk ke Sabah.
Pada masa sama, katanya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) juga perlu memperketat kawalan fizikal dan logistik di semua pintu sempadan.
“Mengikut laporan AADK, varian baharu dadah yang dilabelkan ‘blackout’ itu 100 kali lebih kuat daripada morfin. Dadah sintetik itu juga dikenal pasti telah memasuki pasaran gelap di negara ini.
“Cecair terlarang itu bukan sahaja boleh dijadikan perisa vape, tetapi turut dicampurkan dalam minuman atau makanan selain dititiskan pada batang rokok sebelum disedut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Masiung berkata, berdasarkan laporan AADK, bahan yang dikenali sebagai ‘blackout’ atau ‘zombi’ itu boleh menyebabkan pengguna mengalami khayal berlebihan, menjadi pasif dan tidak sedarkan diri.
Katanya, bahan berkenaan turut dikaitkan dengan campuran ketamin dan sejenis bahan psikotropik yang berbahaya kepada fizikal manusia.
“Pengguna akan hilang kewarasan dan hilang fikiran sekali gus menyerang saraf otak dan sistem fizikal.
“Kemasukan bahan terlarang itu ke negara ini merangkumi pelbagai taktik termasuk pengangkutan laut dan udara,” katanya.
Masiung tidak menolak kemungkinan bahan terlarang berkenaan diproses oleh sindiket antarabangsa atau tempatan untuk dipasarkan secara haram di negara ini.
Menurutnya, sindiket terbabit juga mungkin menggunakan pelbagai modus operandi bagi mengaburi pihak berkuasa, termasuk penghantaran melalui perkhidmatan pos laju dan aplikasi dalam talian.
Sehubungan itu, beliau mahu pemantauan dan penguatkuasaan dipertingkat bagi menghalang bahan berbahaya berkenaan daripada menular ke Sabah.






