KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri disaran memperkukuh hubungan dengan penggiat seni, ikon sukan dan mahasiswa dengan menjadikan tiga kelompok berpengaruh itu sebagai rakan strategik dalam menyampaikan aspirasi pembangunan serta mendapatkan maklum balas rakyat.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Masiung Banah berkata, ketiga-tiga kelompok berkenaan mempunyai pengaruh luas dan potensi besar sebagai ejen perubahan dalam masyarakat.
Sehubungan itu, katanya, BBC merancang mengadakan satu kolaborasi berbentuk forum santai yang menghimpunkan penggiat seni, bintang sukan dan mahasiswa bersama wakil kerajaan bagi membuka ruang pertukaran pandangan secara terbuka.
“BBC melihat karyawan seni, bintang sukan dan golongan intelektual harus mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan supaya mereka tidak berasa dipinggirkan.
“Apabila kerajaan kurang mendekati mereka, pelbagai reaksi negatif terhadap isu semasa termasuk masalah elektrik, air dan jalan raya di negeri ini boleh timbul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Masiung berkata, kelompok berkenaan mempunyai pengaruh dan dinamisme tersendiri yang boleh dimanfaatkan untuk membantu menterjemah serta menyebarluaskan dasar kerajaan kepada pelbagai lapisan masyarakat.
“Kita yakin menerusi forum berkenaan, ketiga-tiga kelompok ini boleh berkongsi idea secara jujur serta meluahkan pandangan secara tuntas merentasi batas politik dan agama,” katanya.
Menurutnya, penggiat seni mempunyai keupayaan tersendiri untuk menyentuh emosi masyarakat menerusi karya seni, muzik, drama, filem dan sastera, sekali gus berpotensi membantu menyampaikan mesej pembangunan kepada rakyat.
Katanya, forum berkenaan juga boleh menjadi medan interaksi antara penggiat seni dan wakil kerajaan, selain membolehkan isu berkaitan industri kreatif termasuk kebajikan artis, hak cipta dan pembiayaan ekosistem seni diketengahkan.
“Bidang seni sering tercicir dalam pembentangan belanjawan kerajaan. Justeru, kita berharap usaha menyatukan penggiat seni di Sabah dengan Kerajaan Negeri dapat direalisasikan,” katanya.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, atlet dan bintang sukan juga tidak seharusnya diketepikan kerana mereka merupakan antara ikon generasi muda yang mampu menjadi penyatu masyarakat merentasi batas geopolitik.
Katanya, sekiranya forum berkenaan direalisasikan, penglibatan kelompok sukan boleh membuka ruang membincangkan hala tuju pembangunan sukan termasuk pelaburan dalam kemudahan serta masa depan atlet selepas bersara.
Dalam pada itu, beliau berkata mahasiswa yang mewakili generasi muda berilmu dan celik teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) perlu didekati sebagai generasi pelapis.
Menurutnya, mahasiswa boleh memainkan peranan sebagai ‘duta’ pendidikan dan membantu menyampaikan mesej kepada komuniti setempat serta rakan sebaya.
“Mereka juga boleh menghasilkan kandungan menerusi video pendek atau penulisan santai yang mampu memberi motivasi kepada anak muda.
“Pada masa sama, mereka boleh menyokong ketegasan kerajaan dalam usaha menentang ketirisan dan salah guna kuasa,” katanya.






