Kes Cabul Pelancong China: Jafry Arah Semak Lesen, Tahap Keselamat Resort di...

Kes Cabul Pelancong China: Jafry Arah Semak Lesen, Tahap Keselamat Resort di Semporna

0
SHARE

KOTA KINABALU: Status lesen dan tahap keselamatan sebuah resort di Semporna diarahkan supaya diperiksa segera susulan dakwaan seorang pelancong wanita warga China dicabul selepas bilik penginapannya diceroboh.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihak berkuasa pelancongan berkaitan turut diarahkan menyelaras tindakan dengan agensi penguatkuasaan sekiranya perlu.

Saya memandang serius insiden yang dilaporkan membabitkan seorang pelancong China di sebuah resort di Semporna. Keselamatan dan perlindungan setiap pengunjung ke Sabah mesti terus menjadi keutamaan tertinggi kita.

Sebarang kelemahan yang dikenal pasti mesti ditangani tanpa berlengah. Pengusaha pelancongan, khususnya penyedia penginapan, bertanggungjawab memastikan premis mereka menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin kepada tetamu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jafry turut mengalu-alukan tindakan pantas polis menahan seorang suspek dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh tanpa sebarang spekulasi.

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pengunjung, terutama ketika Sabah sedang menuju Tahun Melawat Sabah 2027.

“Sabah mesti terus menjadi destinasi yang membolehkan pengunjung berasa selamat, dihormati dan dialu-alukan,” tegasnya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah memaklumkan seorang lelaki berusia 18 tahun ditahan selepas seorang wanita warga China berusia 25 tahun mendakwa seorang lelaki menceroboh bilik penginapannya dan mencabulnya di sebuah resort di daerah itu.

Suspek ditahan kira-kira jam 8 malam kelmarin sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah dan Seksyen 354 kanun sama kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat mencabul kehormatan.