Tiada Kebimbangan Dalam Isu Pilih Ketua Menteri – Gabungan Sabah

Tiada Kebimbangan Dalam Isu Pilih Ketua Menteri – Gabungan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Keputusan tentang siapa yang akan menjadi Ketua Menteri Sabah dari pembangkang – jika ia menang pilihan raya umum – akan ditentukan berdasarkan keyakinan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dua presiden parti pembangkang, Datuk Yong Tek Lee dari Parti Maju Sabah (SAPP) dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata perkara itu diperuntukkan dalam perlembagaan Negeri.

Mereka memberi jaminan bahawa parti-parti dalam Gabungan Sabah (USA) tidak bimbang dengan perkara tersebut, persoalan tentang siapakah di antara pemimpin pembangkang yang akan menyandang jawatan tersebut bukan satu isu.

“Saya rasa ia bukan satu masalah kerana perlembagaan menyediakan prosedur mengenai siapa yang akan menjadi Ketua Menteri Sabah yang seterunya,” kata Dr Jeffrey.

Beliau berkata parti di dalam pakatan telah berbincang mengenai perkara itu dan semua sebulat suara bersetuju bahawa sekiranya pembangkang menerima mandat daripada rakyat untuk membentuk Kerajaan Negeri yang seterusnya, mereka akan merujuk kepada perlembagaan mengenai perlantikan Ketua Menteri mereka.

Yong, seorang bekas Ketua Menteri yang berkhidmat dari 1996 sehingga 1998 di bawah sistem bergilir Ketua Menteri Sabah, juga menegaskan bahawa perkara itu tidak dianggap sebagai satu masalah dalam pakatan tersebut.

“Ia jelas dalam perlembagaan mengenai proses perlantikan Ketua Menteri. Dalam kes Gabungan (Pakatan), tidak ada sebarang isu dan masalah. Semua memahami perlembagaan dan di mana kami semua berdiri,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Perlembagaan Negeri menyatakan bahawa Ketua Menteri mestilah seorang pemimpin yang boleh mendapat kepercayaan majoriti dalam Dewa Undangan Negeri (DUN). Beliau juga berkata bahawa sistem kehakiman mengiktiraf cara perlantikan seorang Ketua Menteri di bawah proses sedemikian berdasarkan kes terdahulu yang dibawa ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Yong menambah bahawa walaupun perkara tersebut belum dibincangkan bersama parti pembangkang lain di luar pakatan, mereka semua terikat dengan perlembagaan tersebut.

“Mereka mungkin mempunyai idea yang berbeza tetapi semua terikat dengan perlembagaan,” katanya.

Terdahulu, Yong dan Dr Jeffrey menyertai pemimpin-pemimpin USA lain termasuklah presiden Harapan Rakyat, Datuk Seri Lajim Ukin dalam menghadiri hari peringatan tragedi ‘Double Six’ di Sembulan, Selasa lepas. Mereka diiringi oleh penyokong mereka.

Parti-parti Pakatan Harapan Negeri dan pendatang baharu, PAKAR yang diketuai oleh presidennya Datuk Henrynus Amin juga datang tidak lama selepas itu untuk memperingati kejadian tragik yang melibatkan nahas GAF N-22B Nomad yang mengorbankan beberapa pemimpin politik tempatan pada 6 Jun 1976.

Beberapa pemerhati politik juga mencadangkan bahawa persoalan tentang siapa antara pemimpin pembangkang yang berhak menjadi Ketua Menteri yang seterusnya jika mereka membentuk kerajaan boleh mengangkat ataupun menjatuhkan mereka, sebelum mereka mula bertanding.

Awal tahun lepas, sudah ada satu isu tentang ini apabila Parti Cinta Sabah (PCS) mengatakan bahawa parti yang berpusat di Semenanjung Malaysia seperti PKR, DAP, AMANAH dan PAS tidak boleh melantik pemimpin Sabah mereka sendiri sebagai Ketua Menteri Sabah walaupun mereka mempunyai majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri kerana perkataan “pemimpin” dalam Artikel 6(7) Perlembagaan Negeri merujuk kepada presiden parti.

Bagaimanapun, PKR Sabah menegaskan bahawa Pakatan Harapan boleh melantik pemimpin Sabah mereka sebagai Ketua Menteri Sabah sekiranya mereka memenangi pilihan raya tersebut kerana perkataan “pemimpin” yang dinyatakan dalam Perlembagaan tidak terbatas kepada presiden parti.

– HarianEkspres