SMJ 2.0 Perkasa Anak Sabah Hadapi Masa Depan

SMJ 2.0 Perkasa Anak Sabah Hadapi Masa Depan

0
SHARE

TUARAN: Pembangunan modal insan terus menjadi keutamaan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi memastikan anak Sabah memiliki ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi masa depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kekuatan sebenar Sabah terletak pada rakyatnya, selain kekayaan sumber alam, pembangunan fizikal dan kemajuan ekonomi.

“Kita memerlukan generasi yang berilmu, berkemahiran, berintegriti, celik teknologi dan digital, mampu berfikir secara kritis dan kreatif serta mempunyai nilai kemanusiaan dan jati diri yang kukuh,” katanya pada Majlis Makan Malam Amal Jubli Perak sempena 25 Tahun SMK Sri Nangka, di sini, semalam.

Beliau berkata, penekanan itu selaras dengan Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, iaitu teras kedua Pelan Pembangunan SMJ. Pendidikan juga perlu bergerak seiring perkembangan dunia melalui pengukuhan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), kecerdasan buatan (AI), teknologi digital serta pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Menurut Hajiji, kerajaan negeri memperuntukkan RM155 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini, berbanding RM50 juta pada 2020. Sebanyak 14 inisiatif pendidikan turut diperkenalkan antara 2021 hingga 2025 dan diteruskan sehingga kini, termasuk bantuan pendaftaran institusi pengajian tinggi (BUDI), bantuan komputer (BAIK) serta bantuan perjalanan pulang kepada pelajar.

Katanya, permohonan bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) kini boleh dibuat sepenuhnya dalam talian menerusi Sistem TPNS Smart Application.

“Namun, dalam kita mengejar kemajuan teknologi, jangan sesekali kita melupakan nilai dan akhlak. Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cerdik akalnya dan tinggi kemahirannya, tetapi berakhlak, berintegriti dan berjiwa besar untuk membangunkan Sabah,” katanya.

Hajiji turut mengingatkan bahawa pendidikan memerlukan kerjasama guru, ibu bapa, kerajaan, komuniti dan sektor swasta.

Mengenai SMK Sri Nangka, beliau berkata sekolah yang menyambut ulang tahun ke-25 itu dekat dengan dirinya kerana pembinaannya bermula daripada permohonannya untuk sebuah sekolah menengah baharu di kawasan Sulaman.

Beliau juga mencadangkan nama SMK Sri Nangka berdasarkan nama lama kawasan berkenaan yang dikenali masyarakat tempatan sebagai Nangka atau Kampung Nangka.

Beliau berharap sumbangan melalui majlis makan malam amal itu dapat menyediakan kemudahan pembelajaran dan peluang pendidikan, selain memberi inspirasi kepada pelajar untuk melangkah lebih jauh.