KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Jumardie Lukman menyeru hubungan antara Warisan, KDM dan STAR terus diperkukuhkan di peringkat akar umbi supaya kerjasama antara parti-parti tempatan itu dapat diterjemahkan melalui program dan gerak kerja bersama.
Seruan itu disampaikan Jumardie yang juga Ketua Bahagian P171 KDM Sepanggar ketika menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Warisan Sepanggar bersama barisan kepimpinan bahagiannya baru-baru ini.
Turut hadir pimpinan STAR Karambunai yang diketuai Datuk Stephen Teo bersama rombongan.
Menurut Jumardie, kebersamaan antara parti-parti tempatan berkenaan perlu terus diperkukuhkan di peringkat akar umbi dalam membawa isu serta kepentingan Sabah.
Katanya, hubungan antara pimpinan di peringkat bahagian juga penting bagi memastikan kerjasama yang dibina dapat diterjemahkan menerusi program dan gerak kerja bersama.
“Kita perlu terus memperkukuhkan hubungan di peringkat bahagian supaya kerjasama yang dibina bukan sekadar di peringkat kepimpinan, tetapi turut dapat diterjemahkan melalui gerak kerja bersama di lapangan,” katanya.






