14 Pelajar Lelaki Termasuk Warga Asing Ditahan Susulan Kes Pergaduhan Bersenjata di...

14 Pelajar Lelaki Termasuk Warga Asing Ditahan Susulan Kes Pergaduhan Bersenjata di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seramai 14 pelajar lelaki termasuk seorang warga asing berusia antara 12 hingga 14 tahun ditahan polis susulan kejadian pergaduhan bersenjata yang berpunca daripada perselisihan faham antara dua pelajar di Taman Permainan Taman Ambar, Jalan Kuhara, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, semua suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada 7 Oktober lalu bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 6 Oktober, kira-kira jam 6 petang, sebelum menjalankan siasatan dan usaha mengesan individu terbabit.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara dua pelajar sebelum berlaku pergaduhan yang kemudiannya melibatkan beberapa pelajar lain.

“Rakaman video kejadian yang tular turut membantu polis mengenal pasti individu serta peranan masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rosdi berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone 13 dan sebuah basikal berwarna hitam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

Katanya, seorang daripada suspek yang ditahan merupakan warga asing yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menentukan penglibatan dan peranan setiap individu yang ditangkap,” katanya.

Menurutnya, polis turut memperoleh rakaman video asal kejadian, merakam percakapan saksi dan individu ditahan serta mendapatkan laporan perubatan mangsa.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalinkan kerjasama dengan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, Rosdi memberi amaran bahawa sebarang tindakan merusuh, menyerang individu lain atau menggunakan objek sebagai senjata merupakan kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.

“Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya memantau pergaulan serta tingkah laku anak-anak mereka, manakala para pelajar diingatkan agar tidak terbabit dalam pergaduhan, melakukan provokasi atau menyertai kumpulan yang boleh membawa kepada perlakuan jenayah.

“Polis akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-918 9402 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.