KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan sistem MyLapor bagi memudahkan orang awam melaporkan kesalahan berkaitan produk merokok, termasuk perbuatan merokok di kawasan larangan serta penjualan produk berkenaan kepada individu bawah umur 18 tahun.
Sistem aduan digital itu diwujudkan sebagai saluran pelaporan kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), sekali gus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan kawalan produk merokok di negara ini.
Menerusi sistem berkenaan, orang awam boleh mengemukakan aduan melalui tiga kaedah, iaitu aplikasi MySejahtera, imbasan kod QR MyLapor atau portal rasmi di https://kkmhub.moh.gov.my/mylapor/public.
Antara kesalahan yang boleh dilaporkan termasuk perbuatan merokok di kawasan larangan, penjualan, pembelian atau penggunaan produk merokok oleh individu berumur bawah 18 tahun serta penjualan produk berkenaan secara dalam talian atau menerusi mesin layan diri.
Selain itu, orang awam turut boleh melaporkan kegiatan pengiklanan, promosi atau pameran produk merokok yang tidak dibenarkan serta pembungkusan produk yang gagal mematuhi piawaian dan peraturan ditetapkan.
Menurut KKM, setiap aduan yang diterima menerusi MyLapor akan disalurkan terus kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat berdasarkan lokasi kejadian bagi membolehkan tindakan susulan dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.
Pengadu juga boleh menerima notifikasi mengenai status aduan masing-masing melalui aplikasi MySejahtera.
Pelaksanaan sistem itu bukan sahaja memudahkan orang awam membuat laporan tanpa perlu bersemuka dengan individu yang melakukan kesalahan, malah membantu KKM memantau aduan serta mengenal pasti kawasan yang memerlukan perhatian penguatkuasaan.
Sehubungan itu, KKM menggalakkan orang ramai memberikan maklumat yang tepat dan lengkap ketika mengemukakan aduan bagi membantu proses siasatan.
Pada masa sama, pemilik dan pengusaha premis turut disaran memaparkan kod QR MyLapor di lokasi yang mudah dilihat serta memastikan pematuhan terhadap larangan merokok di premis masing-masing.






