Myanmar Setuju Mulakan Program Hantar Balik Pelarian Rohingya Tahun Ini

Myanmar Setuju Mulakan Program Hantar Balik Pelarian Rohingya Tahun Ini

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

DHAKA, BANGLADESH – Myanmar bersetuju dengan permintaan Bangladesh untuk memulakan penghantaran balik pelarian Rohingya pada suku kedua tahun ini, lapor Agensi Anadolu memetik pegawai pada Selasa.

Perkara itu dimaklumkan pada rundingan tiga pihak yang menyaksikan China sebagai perantara.

“Kami mahu ia dimulakan pada suku pertama tahun ini, tetapi Myanmar minta diberikan lebih banyak masa untuk mengatur logistik dan beberapa perancangan lain. Maka kami mahu ia dimulakan pada suku kedua dan mereka bersetuju,” kata Setiausaha Luar Bangladesh Masud Bin Momen selepas rundingan itu.

Memetik laporan Bernama, China akan memberikan vaksinasi COVID-19 percuma kepada penduduk Rohingya pada fasa pertama program penghantaran pulang itu.

Beberapa hari sebelum itu, Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen berkata, penghantaran balik satu-satunya jalan keluar untuk mengakhiri krisis Rohingya dan tiada alternatif lain.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, “Myanmar membuat semua perancangan yang diperlukan dan menegaskan kesediaan Yangon untuk menerima semula pelarian Rohingya.”

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan tarikh tertentu untuk penghantaran pulang bermula.

Projek perintis sedang dijalankan untuk menghantar pulang etnik Rohingya di Bangladesh…(Sumber Foto: AFP)

“Projek perintis sedang dijalankan untuk penghantaran pulang itu. Myanmar bersedia untuk memulakan proses mengenal pasti pelarian yang akan terbabit,” tambah kenyataan itu.

Etnik Rohingya yang terbabit perlu mengisi dan menandatangani borang mereka dengan rela hati mahu dihantar balik serta akan mematuhi undang-undang Myanmar.

Selain itu, Myanmar mahu Bangladesh memastikan tiada sebarang ancaman pengganas ketika program dilaksanakan.

Sebelum ini dua usaha penghantaran pulang cuba dilakukan di bawah perjanjian dua hala antara Bangladesh dan Myanmar yang ditandatangani pada 2017 tetapi gagal mencapai sebarang hasil, walaupun Myanmar berulang kali memberi jaminan bersedia untuk menerima semula Rohingya yang dihantar balik.

Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, melarikan diri dari Myanmar dan menuju ke Bangladesh susulan kekejaman tentera Myanmar terhadap komuniti minoriti Islam, pada Ogos 2017.