KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat telah menganjurkan program ‘town hall’ di Pejabat Zon Maritim Kudat, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, sebagai agensi yang menguatkuasakan undang-undang di perairan negara, Maritim Malaysia bertanggungjawab untuk memastikan kadar pematuhan masyarakat terutamanya komuniti maritim terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara sentiasa dipatuhi.
Bagi mencapai objektif itu, Zon Maritim Kudat mengambil inisiatif menganjurkan sesi ‘town hall’ khas bagi memberi penerangan yang lebih terperinci berkaitan SOP yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di daerah ini berkuatkuasa.
Ketua-ketua Jabatan dan Agensi lain yang berkaitan seperti Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tugas Bersama (ATB), Pasukan Polis Marin (PPM), Pejabat Kesihatan Kudat, Jabatan Penerangan, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah dijemput sebagai ahli panel dalam sesi ‘town hall’ ini.
Selain masyarakat setempat, sesi ini turut dihadiri wakil daripada Persatuan Nelayan Kawasan Kudat serta Persatuan Pengusaha Kapal Komersial Kudat.
Antara lain objektif program ini diadakan adalah bagi mendengar serta menyelami permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat terutamanya komuniti maritim di Kudat sepanjang PKPP dikuatkuasakan.
Persoalan dan permasalahan yang diajukan masyarakat telah dijawab secara terus dan jelas melalui sesi soal jawab dua hala.
Dalam usaha mengawal penularan jangkitan COVID-19 ini, Maritim Malaysia akan bertindak tegas terhadap sebarang salah laku pelanggaran SOP yang telah ditetapkan.
Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan dalam memastikan undang-undang negara dipatuhi sepenuhnya.