KOTA KINABALU: Seramai 5,915 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada pelbagai warganegara telah dipindahkan pulang ke negara asal masing-masing menerusi program pemindahan tahanan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah sepanjang tahun ini.
JIM Sabah memaklumkan, jumlah itu merangkumi 3,974 warga Filipina, Indonesia (1,629), Pakistan (132), China (132), Vietnam (25) dan 23 warga negara lain.
Terbaharu, seramai 280 tahanan PATI warga Filipina dari Depot Imigresen Tawau dipindahkan melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina menggunakan feri komersial.
“Kesemua tahanan PATI yang dipindahkan terdiri daripada 193 lelaki dewasa, 51 perempuan dewasa, 16 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan yang berumur dalam lingkungan satu bulan sehingga 90 tahun,” menurut JIM Sabah menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut jabatan itu, semua kanak-kanak yang terlibat turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing sepanjang proses pemindahan.
Sementara itu, pada 10 Oktober lalu, empat lelaki dewasa warga China dari Depot Imigresen Tawau dipindahkan melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Tawau ke Guangzhou, China.
Dalam tempoh sama, 11 wanita dewasa warga Filipina dari Depot Imigresen Papar turut dipindahkan melalui penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Manila, Filipina.
JIM Sabah menjelaskan, semua tahanan terbabit telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan sah bagi membolehkan proses pemindahan dilaksanakan.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi atau menggaji PATI, selain menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan berkenaan melalui saluran aduan rasmi.
Aduan boleh dikemukakan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di https://eapp.imi.gov.my.






