AgriData Sabah Terima Pelaburan Strategik VentureTECH, Pertama di Malaysia Timur

AgriData Sabah Terima Pelaburan Strategik VentureTECH, Pertama di Malaysia Timur

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Syarikat pemula niaga teknologi pertanian dari Sabah, AgriData Portal Sdn Bhd (AgriData), berjaya memperoleh pelaburan strategik daripada VentureTECH Sdn Bhd, sekali gus menjadi pelaburan pertama syarikat berkenaan di Malaysia Timur.

Pelaburan itu turut disifatkan sebagai pelaburan peringkat awal (seed-stage) terbesar di rantau berkenaan setakat ini.

Perjanjian dimeterai pada 13 Oktober lalu di Hyatt Regency Kuala Lumpur, KL Midtown, dengan disaksikan Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah.

Pelaburan berkenaan akan digunakan untuk menambah baik Sistem Pengurusan Ladang (FMS) AgriData serta memperluas projek AGRI-SPARK daripada tiga kepada tujuh hab di seluruh Sabah.

AgriData turut menyasarkan peningkatan penyertaan petani Bumiputera anak negeri menerusi program Sparkgrowers daripada 57 peserta sedia ada kepada lebih 120 orang.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani, selain membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda luar bandar yang sebelum ini berdepan pendapatan pertanian sekitar RM600 hingga RM800 sebulan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kementeriannya bersama Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) komited memperkukuh ekosistem inovasi serta pembangunan syarikat pemula niaga tempatan.

“Usaha ini bertujuan membantu perusahaan tempatan membangunkan inovasi, meningkatkan daya saing serta meneroka peluang pertumbuhan dalam pasaran nasional dan serantau,” katanya.

Kerjasama berterusan antara kementerian dan SCENIC dijangka membantu lebih banyak syarikat tempatan mengembangkan operasi, mengkomersialkan inovasi serta menembusi pasaran luar Sabah.