
KOTA KINABALU, SABAH – Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong menggesa agar kerajaan negeri memperuntukkan dana bekalan air tangki tambahan kepada rakyat susulan gelombang haba tinggi yang dijangka berlarutan sehingga bulan Ogos 2023.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Junz berkata masalah gangguan bekalan air di Sabah terutamanya di kawasan Kota Kinabalu Tawau, Sandakan, Kinarut, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sepanggar, Papar dan Kudat telah menjadi sangat serius sejak akhir-akhir ini.
“Menteri Jabatan Kerja Raya Sabah menyatakan bahawa rakyat terpaksa menanggung masalah ketiadaan air disebabkan pemasangan paip baharu sedang dilaksanakan.
“Dalam masa yang sama, rakyat terpaksa membeli dan membayar tangki air untuk mendapatkan air bersih daripada sektor swasta.
“Kenapa rakyat perlu membeli air dari sektor swasta? Adakah air tidak dibekal atau dijual oleh kerajaan pada kadar yang lebih rendah berbanding sektor swasta?,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan berdasarkan laporan The Star Malaysia bertarikh 11 Mei lepas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand, Varawut Silpa-archa telah memberi amaran bahawa krisis kemarau teruk yang disebabkan oleh gelombang panas dan ketibaan El Nino mungkin menyebabkan kemarau sengit selama 2 hingga 3 tahun.
“Dunia dijangka menghadapi kemarau yang teruk akibat berlakunya El Nino, di mana hujan akan berkurang mendadak ataupun tiada hujan langsung.
“Kerajaan sepatutnya memperuntukkan bajet bagi membekal tangki air tambahan kepada rakyat untuk mempersiapkan diri menghadapi gelombang haba tinggi yang dijangka berlarutan sehingga bulan Ogos ini,” katanya.





