KOTA KINABALU: Rakyat disaran menjadikan perlindungan insurans hayat dan takaful keluarga sebagai keutamaan dalam perancangan kewangan bagi menghadapi risiko kesihatan, kehilangan pendapatan serta ketidaktentuan global.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kekuatan ekonomi bukan sahaja bergantung kepada pertumbuhan, malah turut dinilai melalui tahap keselamatan dan daya tahan kewangan rakyat.
“Di sebalik setiap polisi insurans, terdapat sebuah keluarga, sumber kehidupan dan masa depan yang wajar dilindungi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah AKARD 2026 anjuran Persatuan Kebangsaan Insurans Hayat Malaysia dan Penasihat Takaful Keluarga (NAMLIFA) Cawangan Sabah di Port View Palace Hall, di sini, pada Jumaat.
Masidi berkata, peningkatan kos penjagaan kesihatan dan premium perubatan yang terus memberi tekanan kepada keluarga memerlukan langkah bagi memastikan perlindungan kesihatan kekal mampu milik.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik pembaharuan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) oleh Bank Negara Malaysia, termasuk langkah interim untuk menyebarkan pelarasan premium yang terjejas dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.
Beliau turut menyentuh cadangan pelan perlindungan perubatan standard MediAsas yang disasarkan untuk dilaksanakan di seluruh negara pada Januari 2027.
Dalam pada itu, Masidi menegaskan kepentingan penasihat insurans dan takaful mengutamakan kepentingan pelanggan dengan memberikan penerangan jelas serta nasihat yang jujur sebelum sesuatu polisi dipilih.
“Setiap pelanggan perlu diberikan penerangan yang jelas, cadangan yang bersesuaian serta nasihat yang jujur mengenai manfaat, kos dan batasan sesuatu polisi,” katanya.
Beliau turut menggesa NAMLIFA, syarikat insurans, pengendali takaful dan para penasihat supaya terus meningkatkan literasi kewangan serta mengekalkan standard etika profesional yang tinggi.
“Kepercayaan diperoleh melalui perkhidmatan dan dikekalkan melalui integriti,” katanya.
Pada majlis itu, Masidi turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah AKARD 2026 dan berharap pengiktirafan berkenaan menjadi dorongan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan serta membimbing golongan profesional muda.
Beliau menegaskan kejayaan industri insurans dan takaful tidak seharusnya diukur berdasarkan pengiktirafan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira sumbangannya kepada masyarakat.






