KOTA KINABALU: Penggunaan istilah keagamaan untuk menyerang perbezaan pendirian politik disifatkan berpotensi mengelirukan umat Islam serta menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang agama dan bangsa di Sabah.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, perbezaan strategi politik, termasuk pendekatan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA), sepatutnya dibahaskan secara rasional tanpa menggunakan agama untuk memburukkan pihak yang mempunyai pandangan berbeza.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mengaitkan CSA dengan pendekatan Dajal.
Menurut Mustapha, penggunaan istilah keagamaan sedemikian amat berat, lebih-lebih lagi apabila ia disuarakan oleh seorang tokoh agama yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat.
“Bagi rakyat Sabah, budaya melabel sesama Muslim dengan gambaran seburuk itu hanya kerana berbeza pendirian politik amat janggal dan sukar diterima.
“Kepelbagaian agama, bangsa dan budaya telah sekian lama menjadi kekuatan yang menyatukan rakyat Sabah, bukannya alasan untuk bermusuhan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan keperluan menggunakan istilah akhir zaman dalam perbahasan politik, sedangkan CSA boleh dibincangkan melalui hujah dan kerangka demokrasi berparlimen.
Malah, beliau membangkitkan bahawa pendekatan CSA juga pernah dilaksanakan ketika PAS berada dalam kerajaan.
“Maka, adakah PAS juga Dajal?” soalnya.
Sehubungan itu, Mustapha menyeru rakyat Sabah supaya mempertahankan keharmonian dan perpaduan negeri ini serta menolak sebarang bentuk politik yang memperalatkan agama demi kepentingan kuasa.
Beliau menegaskan agama sepatutnya menjadi asas penyatuan masyarakat, bukannya alat untuk mencetuskan perpecahan, sambil mengingatkan kepentingan mencari titik persamaan dan saling menghormati perbezaan.
“Agama sepatutnya menyatukan, bukan memecahbelahkan. Sabah tidak perlu diajar tentang perpaduan oleh mereka yang masih gemar melabel sesama sendiri,” katanya.






