GEORGETOWN, PULAU PINANG – Remaja maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta Pesona di simpang lampu isyarat di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berdekatan Astaka Seagate di sini, semalam.
Memetik sumber Harian Metro, kejadian yang berlaku pada jam 4.30 pagi itu menyebabkan remaja berumur 18 tahun yang juga pekerja swasta mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala pemandu Proton Persona yang juga remaja lelaki berusia 18 tahun cedera di tangan kiri.
Berdasarkan video tular, mangsa dilihat menunggang motosikal Yamaha RXZ dan melakukan aksi ‘Superman’ bersaing dengan seorang lagi penunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan polis mendapati mangsa dari arah Batu Maung dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kereta yang sedang membuat pusingan U di laluan berkenaan.
“Siasatan menunjukkan pemandu kereta itu menuju ke arah restoran nasi kandar di Jalan Tengah dari Queens Waterfront. Apabila kereta itu tiba di lampu isyarat Astaka Seagate, ia membelok ke kanan kerana lampu bertukar hijau.
“Tiba-tiba motosikal itu datang dari arah bertentangan dan melanggar kereta. Akibatnya, pemandu kereta itu mengalami kecederaan di tangan kiri manakala penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Polis memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan peraturan berkaitan lalu-lintas dan menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.