GUANGZHOU: Peluang perdagangan dan pelaburan antara Sabah dengan China terus diperkukuh apabila Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah memeterai lima memorandum persefahaman (MoU) dengan lima dewan perniagaan China, termasuk kerjasama dalam perdagangan ginseng.
Pemeteraian MoU itu disaksikan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, manakala MCCC Sabah diwakili presidennya, Datuk Dexter Lau.
Lima dewan perniagaan terlibat ialah Dewan Perniagaan Cina Perantauan Guangzhou, Dewan Perniagaan Perusahaan Keluar Guangzhou, Dewan Perniagaan Xingtai, Dewan Perniagaan Perdagangan Asia Timur Laut Jilin dan Dewan Perniagaan Ginseng Jilin.
Kerjasama itu bertujuan memperluas peluang perniagaan rentas sempadan, menggalakkan pelaburan serta memperkukuh hubungan antara komuniti perniagaan kedua-dua pihak.
Majlis menandatangani MoU berkenaan berlangsung sempena Majlis Makan Malam Jaringan Malaysia-China Guangzhou yang menghimpunkan kira-kira 500 usahawan dari Malaysia dan China.
Dexter berkata, MCCC Sabah terus komited memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara, khususnya dalam sektor pertanian, perikanan, pemprosesan makanan dan teknologi moden.
Menurutnya, lawatan delegasi perniagaan ke Guangzhou bertujuan mempelajari kemajuan teknologi China selain mengenal pasti peluang kerjasama baharu yang berpotensi dimanfaatkan komuniti perniagaan Sabah.
Beliau yakin lawatan lapangan, pertukaran perniagaan dan pemeteraian MoU berkenaan mampu memperkukuh hubungan perdagangan serta membuka laluan kepada pelaksanaan projek kerjasama yang berdaya maju secara komersial.
Sementara itu, Jamawi memuji komitmen MCCC Sabah dalam memperkukuh hubungan perniagaan Malaysia-China.
“Saya memuji Datuk Dexter Lau dan pasukannya atas visi serta komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan perniagaan Malaysia-China.”
Beliau berharap kerjasama itu dapat menghasilkan manfaat nyata termasuk peluang perdagangan baharu, peluasan akses pasaran, pemindahan teknologi dan pelaburan yang saling menguntungkan Sabah serta China.






