KOTA KINABALU: Kira-kira 1,400 peserta termasuk atlet, jurulatih dan pegawai daripada sembilan pasukan bakal menyertai Sukan Persahabatan BIMP-EAGA 2026 yang berlangsung di Kota Kinabalu dan Penampang pada 23 hingga 26 November ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Sabah selaku tuan rumah akan menghantar dua pasukan, iaitu Sabah A dan Sabah B, bagi menyertai kejohanan edisi ke-12 itu.
Katanya, walaupun tiada sasaran pingat khusus ditetapkan, beliau berharap kontinjen Sabah mampu mencatat pencapaian lebih baik berbanding edisi 2024 di Palawan, Filipina.
“Sasaran pingat, kita tidak meletakkan apa sasaran, namun harapan saya ialah pencapaian kita pada tahun ini lebih baik daripada pencapaian yang kita capai semasa kejohanan itu ataupun BIMP-EAGA ini diadakan pada tahun 2024 di Palawan, Filipina,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Sukan BIMP-EAGA Sabah 2026 di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Pada edisi ke-11 di Puerto Princesa, Palawan pada Disember 2024, kontinjen Sabah meraih 17 pingat emas, 16 perak dan 19 gangsa, sekali gus menduduki tempat kedua keseluruhan carta pungutan pingat.
Nizam berkata, kejohanan yang melibatkan atlet berusia 20 tahun ke bawah itu menjadi platform penting untuk menguji kemampuan serta meningkatkan keyakinan atlet muda Sabah bersaing di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, penyertaan atlet dari negara jiran turut memberi pendedahan berguna sebagai persediaan menghadapi kejohanan lebih tinggi pada masa hadapan.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Pembantu Menteri berkenaan, Datuk Seri Anil Jeet Singh sebagai Ketua Kontinjen Sabah A dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan sebagai Ketua Kontinjen Sabah B.
Sementara itu, menerusi teks ucapannya, Nizam mengingatkan atlet supaya menjaga disiplin, mematuhi arahan jurulatih serta mempamerkan semangat kesukanan sepanjang kejohanan.
Beliau turut menekankan tanggungjawab pegawai pasukan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan atlet sentiasa terpelihara.
Kejohanan berkenaan menghimpunkan penyertaan dari Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina, selain kontinjen dari Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Majlis perasmian dijadualkan berlangsung pada 23 November, jam 8 malam di Magellan Sutera Harbour dan akan disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.






