TENOM: Penganjuran acara sukan, rekreasi dan pelancongan perlu dipergiat bagi menarik lebih ramai pengunjung luar, sekali gus merancakkan ekonomi serta perniagaan tempatan di Tenom.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, dengan populasi sekitar 58,000 penduduk, Tenom perlu memperluaskan daya tarikannya bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi daerah itu.
“Untuk mencapai impian ekonomi yang lebih tinggi, kita kena ambil orang luar datang ke Tenom.
“Antaranya melalui aktiviti pelancongan, sukan dan rekreasi, acara-acara lain serta usaha membuka kampus universiti di kawasan Tenom,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program sempena Kejohanan Bola Tampar Terbuka Lelaki dan Wanita Daerah Tenom 2026 serta Karnival Sukan Tangan Keramat di hadapan Mural Tenom, pada Jumaat.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, usaha memperkasakan sektor pelancongan turut diperkukuh menerusi perancangan pelancaran Tahun Melawat Tenom 2027 pada Januari depan.
Selain itu, Tenom bakal menganjurkan pertandingan tarian singa peringkat kebangsaan pada 4 hingga 6 Disember ini yang dijangka menarik penyertaan dari Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung Malaysia.
Dalam pada itu, beliau turut merancang pembangunan kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan menyediakan kira-kira 100 ekar tanah di Lagud Seberang untuk pertimbangan universiti berkenaan.
“Kalau UMS buat kampus, sama ada sijil ataupun diploma pertanian, memang sesuai untuk daerah kita yang banyak aktiviti pertanian.
“Anak-anak kita tidak perlu lagi pergi ke Kota Kinabalu atau Semenanjung untuk melanjutkan pengajian, sebaliknya orang dari Kota Kinabalu dan Semenanjung boleh datang ke Tenom,” katanya.
Jamawi turut memberi komitmen untuk menyokong penganjuran program sukan, rekreasi dan aktiviti komuniti bagi merancakkan ekonomi serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.






