KOTA KINABALU, SABAH – Ahli politik veteran Sabah, Datuk Kadoh Agundong yang juga dikenali sebagai ‘giant killer’ meninggal dunia pad hari ini.
Beliau menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 12: 27 tengah malam tadi di di Hospital Queen Elizabeth II (QEH II), Damai,
Kadoh meninggalkan isteri Datin Catherine Soledad Kadoh, 60, dan empat orang anak serta 9 cucu. Mendiang akan disemadikan di Kampung Pulong, Tenom.
Mendiang yang berbangsa Murut merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap dan bekas Ahli Parlimen Ulu Padas kini dikenali Parlimen Tenom.
Sepupu kepada mendiang Stanis Buandi mengesahkan berita itu ketika ditemui pada persidangan perwakilan tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Hakka di sini hari ini.
“Ya, mendiang (Kadoh) lama sudah sakit tenat sebelum dimasukkan ke KPJ beberapa bulan lalu dan semalam beliau meninggal dunia,” katanya ringkas.
Sepanjang berkecimpung dalam politik, Kadoh pernah menggalas jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabah serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri pada era kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS). Beliau pernah menyandang Naib Presiden PBS era 80an.
Beliau juga pernah menjadi Naib Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dari tahun 2000 hingga 2018, sebelum menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) pada 21 Disember 2019.





