KOTA BELUD, SABAH – Tiada sebarang pergolakan politik besar berlaku di Sabah ketika ini, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Memetik sumber Berita Harian, eliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan pertemuannya bersama pemimpin UMNO Sabah malam tadi bertujuan mengemas kini beberapa kerja politik, terutamanya penyusunan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan pada penghujung tahun depan.
“Saya ingin menolak dakwaan bahawa terdapat kemelut politik di Sabah. Sebaliknya, keberadaan saya di negeri ini bagi menghadiri Majlis Peluncuran Pembangunan Kedamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kedamaian 2023.
“Tidak wujud kemelut politik di Sabah. Namun, perjumpaan saya dengan rakan-rakan kepimpinan politik terutamanya UMNO hanya bertujuan mengemas kini beberapa kerja-kerja politik, khususnya di dalam penyusunan struktur jentera setelah selesai pilihan raya umum (PRU) dan PRN di enam negeri sebelum ini.
“Walaupun kita tahu bahawa PRN Sabah hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada akhir tahun depan tetapi tidak salah sekiranya UMNO melakukan tindakan siap siaga dari sekarang.
“Jangan ada mana-mana pihak yang membuat analisis atau spekulasi bahawa sesuatu sedang berlaku dari segi politik di negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Peluncuran Pembangunan Kedamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kedamaian 2023 di Kampung Kedamaian, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid malam tadi mengadakan pertemuan dengan pemimpin UMNO Sabah tetapi tiada kenyataan berhubung dikeluarkan selepas pertemuan tertutup itu.