AirAsia Lancar Program “APU Off” Kurangkan Pelepasan Karbon Di Lapangan Terbang

AirAsia Lancar Program “APU Off” Kurangkan Pelepasan Karbon Di Lapangan Terbang

0
SHARE
Airasia
Dari kiri: Ketua Pegawai Pengalaman Lapangan Terbang dan Pelanggan AirAsia Aviation Group; Kesavan Sivanandam, Ketua Pegawai Kelestarian Capital A; Yap Mun Ching, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke, Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra, Ketua Projek Operasi Darat AirAsia, Mohit Khatri dan Pengurus Bertugas, Projek Operasi Darat AirAsia, Fazrul Khan ( Sumber Foto: Ihsan AirAsia )

SEPANG, SELANGOR – AirAsia mengumumkan inisiatif baharu bagi mengurangkan pelepasan karbon di lapangan terbang melalui pengenalan teknologi sokongan darat terkini di hab utamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

AirAsia dan Smart Airport Systems (SAS) telah memperkenalkan penggunaan unit kombo iaitu peralatan darat canggih yang menggabungkan dua fungsi utama iaitu Unit Kuasa Darat (GPU) dan Unit Penyaman Udara (ACU) kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Unit kombo merupakan pembekal kuasa elektrik dan penyejuk udara kepada pesawat ketika berada di darat sebelum perlepasan dan transit.

Tanpa bekalan kuasa darat yang mencukupi dan ACU yang berfungsi dengan baik, pesawat bergantung kepada penggunaan unit kuasa bantuan (APU) untuk melaksanakan fungsi yang sama, di mana ianya kurang efisien dari segi kos dan pelepasan karbon kerana APU dikuasakan oleh bahan api turbin penerbangan.

Unit kombo ini merupakan sebahagian daripada rangkaian inovasi peralatan darat berprestasi tinggi SAS yang menawarkan penyelesaian kepada syarikat penerbangan untuk mengurangkan penggunaan bahan api di darat dan pelepasan karbon.

Melalui pengurangan penggunaan APU, AirAsia dijangka dapat mengurangkan kos operasi dan pelepasan CO2 sebanyak 90 peratus pada kadar penggunaan optimum, sekali gus mengurangkan pelepasan Skop 1 dalam operasinya.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2023 Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pelepasan karbon daripada pesawat menyumbang kepada 53 peratus daripada jumlah pelepasan CO2 di lapangan terbang dan 23 peratus daripadanya adalah daripada penggunaan APU.

Penyumbang utama lain termasuk pelepasan daripada bangunan lapangan terbang dan kenderaan di kawasan lapangan terbang.

Loke berkata beliau berbangga dengan AirAsia kerana menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang menggunakan unit kombo.

“Ini merupakan antara langkah yang boleh diambil oleh syarikat penerbangan bagi mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan operasi di lapangan terbang, seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Penerbangan Malaysia.

“Pelepasan APU menyumbang kepada 12 peratus daripada jumlah pelepasan karbon lapangan terbang yang dilaporkan.

“Pelancaran ini merupakan langkah penting dalam usaha menangani pelepasan karbon di darat dengan harapan semua syarikat penerbangan dan operator pengendalian darat akan menggunakan teknologi ini sebagai penanda aras baharu untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju sektor penerbangan secara lestari di rantau ini.” katanya.