Amir Masdi Lancar Album Baharu ‘AM:PM’

Amir Masdi Lancar Album Baharu ‘AM:PM’

0
SHARE
Amir
Amir Masdi

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Amir Masdi melancarkan pula album kedua yang diberi nama ‘AM:PM’ slepas kejayaan album solo pertama berjudul ‘Amir Masdi’ tahun lalu habis terjual dengan tiga kali cetakan.

Album ini juga menandakan satu lagi pencapaian besar dalam karier nyanyiannya selepas album pertama yang mendapat sambutan hangat dari kalangan peminat dan pengkritik muzik.

Dengan judul unik AM:PM, album ini merangkumi pelbagai emosi dan pengalaman hidup Amir Masdi.

Menerusi album ‘AM:PM’ ini juga, Amir bukan sahaja mempersembahkan vokal mantapnya tetapi juga memperlihatkan kemampuannya sebagai pencipta lagu dan penerbit bersama penerbit terkemuka, Edry Abdul Halim.

Amir, 28, atau nama sebenar Amir Syazwan Masdi berkata album ini sebuah naskah yang sangat istimewa kerana diberi peluang untuk menulis lagu daripada ‘zero’ sehingga ia diterbitkan.

Menurutnya, kesemua lagu dalam album ini mula ditulis bersama komposer ternama, Edry Abdul Halim yang turut bertindak selaku penerbit pada November tahun lalu yang mana fasa satu membabitkan konsep, hala tuju dan apakah jenis lagu yang ingin ditulis.

“Pada Februari tahun ini, saya dan pasukan menggunakan duit yang kami kumpul hasil daripada persembahan yang saya buat selama ini untuk bergerak ke fasa seterusnya.

“Kemudian, pada bulan Mac kami terbang ke Manchester, United Kingdom untuk merealisasikan dan mengejar impian untuk terbitkan album kedua yang dirakam di Volta Lab Studios, Rochdale, Manchester.

“Sepanjang 18 hari berada di sana, kami tulis kesemua 12 lagu selain merakamkan vokal dan video muzik. Jadi, perjalanan untuk menghasilkan album ini sangat istimewa buat saya selain memberikan inspirasi buat saya untuk terus berkarya dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Berkongsi mengenai pemilihan nama album, Amir berkata ia menggabungkan namanya Amir Masdi (AM) dan Projek Manchester (PM).

“Pada awalnya, kami namakan album ini sebagai Projek Manchester. Kemudian, sepanjang perjalanan dan proses rakaman album itu, kami dapat idea AM:PM. AM adalah Amir Masdi dan PM adalah Projek Manchester. Jadi, kami gabungkan menjadi AM:PM.

“Selain itu, AM:PM juga mencerminkan situasi sewaktu Edry berada di Manchester dan kami di Malaysia di mana ketika buat mesyuarat, masa di kedua negara berbeza. Kalau di sini siang, di sana pula malam.

“Seperkara lagi, album ini memuatkan sejumlah 12 lagu. Namun, saya lancarkan dulu bahagian AM pada bulan Oktober yang mengandungi enam lagu dan lagu-lagu pada bahagian PM pula bakal dilancarkan tahun depan. Saya merasakan ini satu lagi keunikan album ini,” katanya.

Album ‘AM’ memampilkan lagu-lagu “Luar Kotak”, “Calar”, “Take Me Home”, “Langit Biru”, “Bakal Kekasih” dan “Nur Cinta”.