Angkara Menganjur Aktiviti ‘Sabung Ayam’, Seorang Lelaki Didenda Pakai PPE Selama 2...

Angkara Menganjur Aktiviti ‘Sabung Ayam’, Seorang Lelaki Didenda Pakai PPE Selama 2 Jam

0
SHARE

JAKARTA, INDONESIA – Angkara menganjurkan aktiviti ‘sabung ayam’ ketika perintah sekatan COVID-19,  seorang lelaki dari Bali, Indonesia didenda memakai sut perlindungan diri (PPE) selama dua jam di kawasan terbuka dan dikenakan denda sebanyak 1 juta rupiah (RM292).

Memetik laporan portal berita Coconut.co, lelaki tersebut ditahan selepas rondaan dibuat oleh Agensi Ketenteraman Awam bersama-sama pasukan gabungan dari pangkalan tentera tempatan.

Menurut sumber, mereka ketika dalam rondaan tersebut terlihat seorang lelaki sedang membawa sebuah bakul berisi seekor ayam jantan dipercayai untuk aktiviti sabung ayam sebelum mengambil keputusan untuk terus mengekori lelaki tersebut.

Para pegawai itu kemudiannya menyerbu penduduk yang hadir dalam aktiviti itu, mengakibatkan berpuluh-puluh daripada mereka lari bertempiaran.

Salah seorang penganjur aktiviti itu yang dikenali sebagai KBA, 53, bagaimanapun ditangkap semasa serbuan.

“Aktiviti seperti menyabung ayam akan menyebabkan orang ramai berkerumun,” kata Ketua Agensi Ketenteraman Awam, Putu Artawan.

Tambah Putu, KBA mendakwa bahawa pertandingan sabung ayam itu dianjurkan bagi mengurangkan bebanan kewangan yang dihadapinya.

“Menurutnya, dia tidak menerima sebarang wang (daripada aktiviti sabung ayam). Bagaimanapun, apabila kami bertanya kepada pegawai kampung, KBA sebenarnya ada mengambil upah,” ujarnya lagi.