Aplikasi ‘kitajaga.co’ Hubungkan Pihak Salurkan Bantuan Dengan Penerima

Aplikasi ‘kitajaga.co’ Hubungkan Pihak Salurkan Bantuan Dengan Penerima

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Aplikasi ‘kitajaga.co’ dibangunkan oleh sekumpulan pakar perisian dan teknologi maklumat tempatan bagi membantu masyarakat Malaysia khususnya yang kini pelbagai masalah hingga mengalami kesempitan hidup akibat pandemik COVID-19 ini.

Aplikasi tersebut mula menjadi perbualan ramai, khususnya dalam kalangan netizen sejak Isnin lalu telah berjaya dibangunkan oleh oleh Terato Tech, iaitu syarikat pembangun produk digital tempatan.

Memetik laporan BH Online, mereka yang menggunakan pemprograman aplikasi antara muka (API) Google, aplikasi berkenaan menyediakan paparan maklumat pada peta mengenai lokasi individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan ditanda dengan bendera merah.

Selain itu, pihak yang ingin menyalurkan dana berbentuk makanan dan kelengkapan harian dipaparkan pada peta sama serta ditanda dengan bendera biru, sekali gus memudahkan proses ‘padanan bantuan’.

Pengasas Terato Tech, Reza Fahmi Razali, berkata cetusan idea untuk merintis usaha ke arah membangunkan aplikasi itu pada awalnya hadir hasil perbincangan dengan rakan sekerja, Jumaat lalu.

Selepas mendapat persetujuan bersama empat rakan lain, beliau berkata, mereka berhempas pulas menyiapkan kerangka dan membangunkan aplikasi terbabit, sepanjang hujung minggu.

“Kami kendalikan ujian dulu bagi meneliti kestabilan aplikasi, sebelum melancarkan penggunaannya untuk manfaat umum mulai Isnin…

“Alhamdulillah, bantuan untuk mereka yang memerlukan dapat dipadankan, tetapi kami belum dapat ‘track’ (kesan) sama ada mereka sudah menerima bantuan atau tidak.

“Cuma, saya dapat makluman menerusi mesej di Twitter bahawa lapan individu sudah mendapat bantuan hasil aplikasi ini, malah ramai kawan dan ada YB (Yang Berhormat) turut membantu penduduk terkesan.

“Kami menerima sekitar 60,000 pelawat semalam (Selasa),” katanya.

Reza berkata, usaha membangunkan aplikasi untuk kegunaan awam itu hanya memerlukan modal yang minimum, namun kos Google Maps API agak tinggi.

Sehubungan itu, beliau berharap Google Malaysia berupaya tampil membantu dalam memastikan aplikasi berkenaan dapat terus digunakan orang ramai.

“Kami juga merancang beberapa siri penambahbaikan untuk menyokong kapasiti pengguna yang ramai, selain mengoptimumkan kod aplikasi…

“Selain itu, kita ingin bangunkan cara untuk mengesahkan penerima sudah mendapat bantuan yang mencukupi dan ditanda dalam peta,” katanya.