
KOTA KINABALU, SABAH – Konsul Republik Indonesia (KRI) di Tawau yang baharu, Aris Heru Utomo memulakan tugasnya berkuatkuasa 16 Mei lalu.
Beliau menggantikan Heni Hamidah yang kembali bertugas di Ibu Pejabat Kementerian Luar Negeri di Jakarta, Indonesia dan merupakan mantan Pengarah Kajian dan Bahan di Badan Pengembangan Ideologi Pancasila.
Aris yang ditemani isteri, Diah Mandarasih Utomo ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin serta isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Istana Seri Kinabalu.
Selain menyampaikan salam hormat dari Presiden Indonesia Joko Widodo dan Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi kepada Tun Juhar, Aris turut berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas kerjasama serta keprihatinan kepada warganya khususnya di negeri ini yang melibatkan keperluan kesihatan dan pendidikan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, hubungan antara dua negara khususnya di Sabah tidak terhad kepada sektor ekonomi, malah melibatkan hubungan antara penduduk memandangkan kira-kira 175,000 warganegara Indonesia direkodkan bekerja di sektor perladangan di negeri ini.
Hadir sama, Pelaksana Fungsi Protokol dan Konsular II Iskandar Suksmadi dan Pelaksana Fungsi Protokol dan Konsular III Sulastriningsih. — JABATAN PENERANGAN SABAH