ASET NAJIB DIBEKUKAN, PENGELUARAN WANG TERHAD KEPADA RM100,000 SEBULAN

ASET NAJIB DIBEKUKAN, PENGELUARAN WANG TERHAD KEPADA RM100,000 SEBULAN

0
SHARE

KUALA LUMPUR – 1MDB dan empat anak syarikat telah memperoleh perintah injunksi ‘Mareva ex parte’ terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membekukan aset dan mengehadkan pengeluaran wangnya kepada RM 100,000 sebulan.

Injunksi Mareva adalah perintah pembekuan atau perlindungan aset yang menghalang defendan atau responden daripada mengalihkan asetnya, termasuk wang dalam bank atau institusi kewangan, ketika proses perundangan sedang berjalan.

The Edge Markets melaporkan pembekuan aset itu mengehadkan Najib untuk mengeluarkan tidak lebih daripada RM100,000 sebulan untuk kos sara hidup dan perbelanjaan guamannya dalam langkah terkini susulan tuntutan semula RM2.85 bilion daripada syarikat 1MDB.

Laman berita itu selanjutnya melaporkan bahawa permohonan untuk perintah itu difailkan pagi ini oleh Tetuan Skrine bagi pihak 1MDB, Global Diversified Investment Company Ltd (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investment Ltd) dan tiga unit lain.

Permohonan itu disokong oleh afidavit pengarah 1MDB Mohd Hisyamuddin Awang Abu Bakar yang difailkan pada inkuiri injunksi itu.

Dalam siasatan itu, 1MDB dan anak syarikatnya diwakili peguam dari Skrine dan Perkongsian Rosli Dahlan Saravana, terdiri daripada Datuk DP Naban, Siva Kumar Kanagasabai, Foo Siew Li, Kong Xin Qing, Dhanyaa Shreeya, Tommy Lim Ka Hui dan Adam Thye Yong Wei.

Injunksi itu dibacakan Pesuruhjaya Kehakiman Makhamah Tinggi Kuala Lumpur Atan Mustaffa Yussof Ahmad, yang turut menetapkan 21 Februari untuk pendengaran, sekiranya Najib ingin bertanding injunksi itu.

Pada Mei tahun lepas, 1MDB memfailkan saman berbilion dolar terhadap Najib dan bekas pengarah lain untuk menuntut AS$681 juta firma pelaburan negara yang didakwa diseleweng dan dipindahkan ke dalam akaun Najib.

Najib dilaporkan memfailkan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kes saman 1MDB, yang sepatutnya didengar pada Jumaat.

Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk mensabitkan Najib atas semua pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta milik SRC International iaitu bekas anak syarikat 1MDB.