BAM Pastikan Kemelut Dengan Zii Jia Tidak Berlarutan

BAM Pastikan Kemelut Dengan Zii Jia Tidak Berlarutan

0
SHARE
Pemain perseorangan negara Lee Zii Jia...

PUTRAJAYA – Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berkata kemelut di antara BAM dan pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia boleh menyebabkan pemain dalam kem badminton hilang fokus.

Ujarnya, beliau serta barisan kejurulatihan di BAM akan memastikan isu tersebut tidak berlarutan sehingga menjejaskan prestasi pemain dengan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap proses pembinaan bakat

Menerusi laporan Bernama, katanya selama ini fokus barisan kejurulatihan tidak hanya tertumpu kepada Zii Jia sahaja.

“Pemain mungkin akan rasa terganggu tetapi kita telah diberikan tanggungjawab untuk membina semua pemain dan sudah tentu selama Zii Jia dalam jagaan kita, beliau dijaga dengan sepenuh komitmen…

“Ini tidak bermaksud kita mengabaikan yang lain dan ini tidak menjadi masalah bahawa hanya sekarang kita akan mengalihkan tanggungjawab atau penelitian kita kepada pemain lain, kita teruskan kerja seperti biasa sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan Larian Bendera Wilayah Persekutuan dan Queen’s Baton Sukan Komanwel 2022 di sini hari ini.

Jumaat lepas, BAM memutuskan tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Jan berikutan keputusan juara All England 2021 itu untuk meninggalkan BAM bagi bergerak sebagai pemain bebas.

Sehingga kini, Zii Jia belum membuat sebarang kenyataan berhubung tindakan diambil BAM ke atasnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai khabar angin bahawa Ng Tze Yong akan menggantikan Zii Jia sebagai pemain perseorangan lelaki utama, Choong Hann berkata pemain kelahiran Johor itu perlu diberikan lebih masa.

“Kita tak mahu memaksa untuk memastikan individu itu terus capai peringkat yang kita mahukan, sebab kita faham dia ada hala tuju, perjalanan dan jangka masa untuk dia meningkat. Jadi kita akan terus membina dan memberikan waktu yang setimpal untuk dia meningkatkan prestasi,” katanya.