KUALA LUMPUR – Meskipun pernohonan maaf telah dilakukan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kepada Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi kelmarin, ekoran bendera Indonesia yang didapati dicetak secara terbalik dalam buku khas cenderahati KL2017.
Kesilapan ini telah menyebabkan majoriti atlet Sukan SEA Indonesia termasuk rakyat Indonesia yang berada di Indonesia turut berkongsi pandangan bahawa kesilapan sebegini tidak sepatutnya berlaku.
Pengerusi dan semua jawatan kuasa peganjur seharusnya lebih peka terhadap perkara ini, memandangkan peganjuran Sukan SEA yang julung kali diadakan di Malaysia ini perlu kepada proses saringan yang ketat termasuk penyediaan khas cenderahati agar setiap inci kesilapan terutama semasa pembukaan Sukan SEA dapat dielakkan bagi menunjukkan Malaysia benar-benar telah bersedia sepenuhnya menganjurkan Sukan SEA pada tahun ini.
Terdahulu, buku cenderamata yang memaparkan bendera Indonesia dalam keadaan terbalik yang mana warna putih di bahagian atas dan merah di bahagian bawah.
Sepatutnya warna merah di bahagian atas dan putih untuk bahagian bawah bendera negara tersebut.
Sebelum ini, Imam melalui Twitternya menyatakan kekesalan berhubung perkara itu walaupun memuji acara pembukaan temasya dwitahunan itu.
“Pembukaan Sukan SEA 2017 yang bagus, tapi dicederai (dirosakkan) dengan kesilapan fakta yang menyakitkan”.
“Bendera kita, merah putih. Astaghfirullah.,” katanya.
Khairy turut membalas twitter Imam dengan permohonan maaf di samping menegaskan tiada niat jahat di sebalik kesilapan tersebut.
Memetik kenyataan Bernama, Khairy telah bertemu secara rasmi dengan Imam Nahrawi kelmarin menyampaikan permohonan maaf bagi pihak Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan melibatkan bendera negara itu.
“Ini adalah satu kesilapan sangat besar dan saya bagi pihak tuan rumah mohon maaf kepada Bapak Imam dan seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan besar ini,” kata Khairy pada sidang media selepas pertemuan tertutup kira-kira 20 minit itu.
Turut hadir pada sidang media itu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MON, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) KL2017, Datuk Seri Zolkples Embong.
Khairy, yang juga pengerusi MASOC, berkata beliau telah mengarahkan semua buku cenderahati berkenaan tidak lagi diedarkan dan edisi baharu dengan pembetulan akan dikeluarkan.
“Semua buku baharu ini akan dihantar kepada semua tetamu kehormat semalam terutama wakil-wakil kerajaan ASEAN bagi menggantikan buku cenderamata yang mengandungi kesilapan itu,” katanya.
Khairy turut memaklumkan bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah berhubung dengan rakan sejawatannya di Indonesia berkenaan hal sama.
“(Datuk Seri) Anifah memaklumkan kepada saya sendiri bahawa satu permohonan maaf rasmi akan dikeluarkan kerajaan Malaysia kepada kerajaan Indonesia menerusi kementerian luar masing-masing,” katanya.
“Permohonan rasmi itu termasuk permohonan rasmi maaf daripada saya sendiri kepada Bapak Imam secara lisan dan juga bertulis adalah satu langkah untuk menzahirkan kekesalan Malaysia sebagai tuan rumah terhadap apa yang telah berlaku.
“Saya berharap atas semangat setiakawan, serumpun, permohonan maaf ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Indonesia dan juga rakyat Indonesia dan dapat terus bina hubungan baik antara kedua-dua negara,” kata Khairy.