KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin dari pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) termasuk pemimpin ‘Top 5 UMNO’ diumumkan bakal mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengumuman calon terbabit dibuat oleh Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia di sini, malam tadi.
Antara pemimpin tertinggi yang mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing antaranya ialah Ahmad Zahid yang bakal mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk, Perak.

Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertahankan kerusi Parlimen Bera dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi kerusi Parlimen Sembrong.


Sementara itu, dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khaled juga bakal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Kota Tinggi.


Kerusi Parlimen Parit Sulong juga bakal dipertahankan oleh Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Dua pemimpin tertinggi masing-masing dari dua parti komponen BN, MCA dan MIC juga menyaksikan mempertahankan kerusi parlimen yang disandang mereka.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong kekal bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam manakala Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan bertanding di kerusi Parlimen Tapah.

Bagi Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki diumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Gerik manakala Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahira Zarik Khan bakal bertanding di kerusi Parlimen Padang Besar.

Spekulasi berhubung kerusi Parlimen yang bakal ditandingi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga telah terjawab apabila diumumkan akan bertanding sebagai calon di Sungai Buloh.

Manakala Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pula diumumkan akan bertanding di Kuala Selangor.

Setakat semalam, sebanyak 160 kerusi Parlimen membabitkan negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor diumumkan akan ditandingi BN.
Walau bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata masih terdapat beberapa kerusi yang belum diumumkan calonnya disamping menjelaskan sedang diteliti pihaknya.
Kerusi itu termasuk Parlimen Tanjong Karang, Jempol, Kuala Pilah, Bandar Tun Razak, Tumpat serta Kuala Nerus.





