Bot Kargo Tempatan Cuba Bawa Masuk PATI Ditahan

Bot Kargo Tempatan Cuba Bawa Masuk PATI Ditahan

0
SHARE
Bot
Bot kargo yang dipintas pasukan Maritim Malaysia Zon Sandakan ( Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia )

SANDAKAN, SABAH – Sebuah bot kargo tempatan yang disyaki cuba membawa masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot kargo terbabit ditahan sekitar pukul 4:30 petang di kedudukan lebih kurang 0.3 batu nautika barat daya Pulau Libaran.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikemudi tekong lelaki warga tempatan berumur 42 tahun disyaki melakukan perjalanan dari Pulau Boan, Filipina menuju ke Sandakan.

“Hasil pemeriksaan juga menemui penumpang terdiri daripada tiga lelaki berumur 35 hingga 63 tahun dan tiga wanita berumur 22 hingga 60 tahun.

“Seorang daripadanya pemegang pas IMM13 manakala lima lagi disyaki warga Filipina tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut turut mendapati lesen bot yang membawa PATI berkenaan telah tamat tempoh.

“Bot beserta kesemua penumpang dan tekong ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002,” tambahnya.