Bot Pam Karam: Lima Ditemui Lemas, Dua Kanak-Kanak Masih Hilang

Bot Pam Karam: Lima Ditemui Lemas, Dua Kanak-Kanak Masih Hilang

0
SHARE

SEMPORNA: Lima individu termasuk kanak-kanak ditemui lemas mankala operasi pencarian bagi dua lagi mangsa diteruskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Tragedi di perairan Pulau Tandoan, Timbun Mata sini berlaku kira-kira pada jam 9 malam semalam apabila bot pam yang membawa 20 penumpang dilaporkan karam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, seramai 13 orang mangsa berjaya diselamatkan oleh orang kampung.

“Mangsa yang ditemui lemas merupakan tiga (3) orang kanak-kanak dalam lingkungan umur dua hingga empat tahun dan dua (2) orang perempuan dewasa…

“Menurut laporan yang diterima, bot tersebut dalam perjalanan daripada Kampung Bakung-Bakung menuju ke Kampung Tandoan dan bot yang dinaiki mangsa telah karam akibat dari cuaca buruk,” katanya sambil menambah kesemua mangsa adalah warganegara.

Mangsa yang masih belum ditemui dikenal pasti sebagai Noranis, 14 tahun dan Aiman, 6 tahun, dari Kampung Sg. Nakit.

Norrimi berkata Op Cari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan dengan kawasan pencarian terbahagi kepada empat sektor dengan keluasan 68 batu nautika persegi.

“Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada semua Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan kes kepada Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, polis akan menjalankan siasatan dari semua segi berhubung kejadian itu.

Katanya satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan dimana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

“Punca kejadian kes ini masih dalam siasatan, dan sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat JSJ IPD Semporna, Insp. Khadijah di talian 019-8718002 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Beliau berkata, semua pengusaha bot, penumpang dan penduduk perlu sentiasa menjaga keselamatan dengan mematuhi jumlah muatan penumpang yang dibenarkan serta memakai jaket keselamatan ketika berada di laut.