“BRO SADO” TUNJAL KEPALA WANITA DIPENJARA LAGI TAMPAR PELAYAN RESTORAN

“BRO SADO” TUNJAL KEPALA WANITA DIPENJARA LAGI TAMPAR PELAYAN RESTORAN

0
SHARE
Bro sado
Mohamad Zaim Faiz Tarmizi, 29 tahun, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menampar dua pelayan restoran pada kira-kira 4.20 petang Ahad lalu (4 Jun) dihadapan Mahkamah Majistret Cameron Highlands ( Sumber Foto: Gambar tular do media sosial )

CAMERON HIGHLANDS – Baru sahaja dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari, “Bro Sado” yang tular kerana menunjal kepala seorang pemandu wanita dijatuhkan hukuman penjara sembilan hari lagi kerana menampar dua pelayan restoran.

Mohamad Zaim Faiz Tarmizi, 29 tahun, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menampar dua pelayan restoran pada kira-kira 4.20 petang Ahad lalu (4 Jun) dihadapan Mahkamah Majistret Cameron Highlands hari ini (Jumaat).

Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman turut mengenakan hukuman denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan, atau penjara sembilan hari jika tertuduh gagal membayar denda.

Bagaimanapun, Makhamah memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak bermula tarikh tangkapan, pada Khamis.

Mohamad Zaim yang bekerja sebagai penyelia kilang di Serdang, Selangor, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua pelayan restoran – Samir Das dan V Dennis Pillai di sebuah restoran steamboat di Tanah Rata.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kedua-dua tuduhan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Awani melaporkan tertuduh dilihat mengesat air mata apabila merayu agar hanya dikenakan denda minima kerana isterinya akan bersalin hujung bulan ini, di samping mempunyai seorang anak kecil.

“Tertuduh juga mengakui telah insaf selepas menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan sebelum ini dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa hadapan.

“Timbalan Pendakwa Raya S Punitha bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal bagi memberi pengajaran, selain kes tersebut tular di media sosial,” katanya.