PETALING JAYA – Serpihan dari roket Long March 5B (CZ-5B) negara China jatuh memasuki kembali ke ruang atmosfera bumi yang dapat dilihat orang awam seolah meteorit pada langit Sarawak semalam.
Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOST) dalam kenyataan pada pagi kejadian meramalkan ianya akan berlaku pada 12.24 tengah malam.
Jelasnya, Roket Long March 5B telah dilancarkan dan Wenchang Spacecraft Launch Site, Wenchang, China pada 24 Julai 2022 untuk menghantar modul Wentian dengan berat 23,000kg ke Stesen Angkasa Tiangong.
“Peringkat teras (core stage) roket Long March 58 telah memasuki Orbit Rendah Bumi (Low Earth Orbit) pada ketinggian 298km untuk mengorbit bumi bagi melepaskan modul Wentian ke Stesen Angkasa Tiangong Disebabkan seretan atmosfera (atmospheric drag) yang kuat pada orbit ini…
“Serpihan roket ini dijangka akan memasuki atmosfera Bumi dalam beberapa hari selepas penghantaran tersebut,” katanya sambil menambah lokasi re-entry sebenar serpihan roket ini tidak dapat diramal dengan tepat.
Katanya, memandangkan saiz roket Long March 58 agak besar, maka serpihan yang berkemungkinan akan terhempas ke Bumi juga adalah besar.
Walau bagaimanapun, kebanyakkan serpihan tersebut akan musnah terbakar di atmosfera dan berkoca menjadi serpihan-serpihan bersaiz kecil.
Hanya sebahagian kecil serpihan yang tidak terbakar sepenuhnya sahaja yang akan jatuh ke bumi…
“Justeru, orang ramai tidak perlu terlalu bimbang terhadap bahaya objek re-entry Ini kerana keberangkalian objek ini untuk menimpa manusia atau merosakkan mana-mana struktur bangunan adalah rendah memandangkan 70 peratus daripada muka Bumi adalah terdiri daripada air dan koluasan kawasan Malaysia adalah kecil berbanding dengan keluasan muka Bumi.
“Orang ramai adalah dinasihatkan agar tidak mengusik, mengalih, mengambil, merosakkan atau memusnahkan sebarang objek yang mencurigakan yang disyaki daripada insiden re-entry ini,” katanya.
Warga Sibu, Bintulu, dan Kuching di Sarawak memuat naik rakaman insiden ke media sosial dengan tanggapan bahawa ianya adalah fenomena meteorit.
Berikut merupakan beberapa video tular yang dirakamkan oleh para warganet tengah malam tadi: