Bumbung Myvi, Rumah Dihempap Pokok Dalam Dua Insiden

Bumbung Myvi, Rumah Dihempap Pokok Dalam Dua Insiden

0
SHARE
Kereta
Myvi remuk dihempap pokok tumbang ( Sumber Foto: Ihsan JBPM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Bumbung sebuah Perodua Myvi yang diletak di tepi jalan berhampiran Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara, Jalan Tasik telah remuk akibat pokok tumbang pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah melaporkan telah menerima panggilan melalui talian Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu pada pukul 10.47 pagi.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” kata seorang jurucakap bagi agensi.

Menurutnya, operasi memotong dan mengalihkan pokok tumbang tersebut di buat oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu DBKK dan pihak bomba.

Dalam kes berasingan, bumbung sebuah rumah di Kampung Takis, Papar turut menjadi korban pokok durian yang tumbang.

Menurut sumber yang sama, bumbung bahagian dapur sebuah rumah jenis kekal mengalami kerosakan dalam insiden kira-kira 9.30 pagi itu.

Sepasukan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Papar bertindak memotong pokok berkenaan menggunakan gergaji berantai dan mengalihkannya ke kawasan selamat.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya.

Menurut jurucakap, pasukan bomba telah bertindak kepada empat panggilan kecemasan berhubung pokok tumbang hari ini, di mana dua daripadanya merupakan kes menghalang lalu lintas.