KOTA KINABALU, SABAH – Usahawan belia dan beliawanis di kawasan Parlimen Sepanggar bakal memanfaat dari program-program anjuran Persatuan Business Usahawan Sepangar (BUS) sepanjang tahun ini.
Pengerusi BUS, Romeo Ansow, menyeru agar para usahawan belia dan beliawanis menyertai program BUS yang akan melahirkan lebih ramai usahawan di negeri ini.
“BUS bertujuan untuk memantapkan lagi usahawan khususnya di kawasan Parlimen Sepanggar dalam usaha menerokai bidang perniagaan tanpa sempadan ini,” kata Romeo yang juga Setiausaha Perhubungan Awam kepada Menteri Sains Inovasi dan Teknologi (KSTI), Datuk Yakub Khan.
Romeo berkata, antara objektif program adalah untuk memberi pendedahan kepada ekonomi digital, latihan, kursus dan lawatan ke beberapa institut.
“Ini termasuk Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia(SIRIM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Koko Malaysia, serta agensi-agensi pelancongan, pertanian, perindustrian, perkilangan dan yang berkaitan dengan BUS…
“BUS juga akan berkerjasama dengan institusi kewangan perbankan dan bukan perbankan seperti MARA, TEKUN dan lain-lain,” ujarnya.
Romeo yang juga Pengerusi UMNO Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) Sepanggar berkata, BUS juga berhasrat melahirkan usahawan yang berdaya saing dan ingin menyahut cabaran Kerajaan ketika dunia sedang berhadap dengan pandemik COVID-19.





