Sabah Sekali Lagi Catat Kluster Baharu Jenis Institusi Pendidikan Di Putatan

Sabah Sekali Lagi Catat Kluster Baharu Jenis Institusi Pendidikan Di Putatan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah sekali lagi mencatat sebuah kluster baharu jenis institusi pendidikan di Putatan yang melambungkan jumlah kes baharu harian kepada 256 KES hari ini.

Jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata jumlah kes hari ini adalah 14 (kes) lebih tinggi daripada catatan kelmarin.

“Kes indeks ‘Kluster Pandan Pandan’ ialah seorang guru, 53, yang mengajar di Madrasah Darul Hadis, Kampung Pandan Pandan di daerah Putatan…

“Beliau yang mengalami gejala batuk, demam dan selesma telah menjalani saringan PCR pada Isnin dan disahkan positif.

“Saringan keatas kontak rapat yang terdiri daripada ahli keluarga, kakitangan dan pelajar di madrasah mendapati 15 orang lagi telah dijangkiti.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang positif dalam Kluster ini sebanyak 16 orang. Sebanyak 14 kes baharu dilaporkan hari ini,” jelasnya dalam rumusan kes harian.

Beliau berkata peningkatan kes baharu sejak beberapa hari kebelakangan ini berpunca daripada kemunculan kluster-kluster baharu.

Jumlah kes di Kinabatangan melonjak tinggi kepada 55 kes hari ini daripada satu (1) kes sahaja semalam ekoran pengesanan 54 kes baharu dari ‘Kluster Sungai Trayon’.

Penstabilan ‘Kluster Jalan Pertukangan’ di Sandakan pula mengurangkan kes harian di daerah tersebut daripada 74 kes kelmarin kepada 12 kes sahaja hari ini.

Selain itu, beliau menekankan wujudnya jumlah kes yang tinggi di kalangan kanak-kanak bawah umur 12 tahun pada hari ini.

Pesakit kanak-kanak terbabit seramai 38 orang atau hampir 15 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

Sementara itu, 29 orang atau 11 peratus pesakit baharu yang didaftar hari ini didapati belum menerima vaksin.

“Kedua-dua statistik ini adalah satu gambaran bahawa masih ada dikalangan masyarakat yang cuai dengan mendedahkan anak-anak kecil mereka kepada risiko jangkitan virus sedangkan mereka belum layak divaksin…

“Masih ramai orang yang sepatutnya layak menerima vaksin pula belum atau enggan divaksin,” tegasnya.

Dalam pada itu, seramai 252 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, tiga (3) orang dalam Kategori 3 dan seorang dalam Kategori 5.

Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (20 Jan 2022) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):

Kinabatangan – 56 (1)
Kota Kinabalu – 45 (33)
Tuaran – 28 (23)
Putatan – 21 (5)
Papar – 18 (13)
Penampang – 18 (18)
Ranau – 12 (6)
Sandakan – 12 (74)
Kota Marudu – 10 (6)
Keningau – 6 (7)
Beaufort – 6 (7)
Lahad Datu – 4 (2)
Kota Belud – 4 (12)
Pitas – 3 (0)
Tawau – 3 (6)
Kuala Penyu – 2 (2)
Beluran – 2 (7)
Sipitang – 2 (6)
Tenom – 2 (3)
Tambunan – 1 (7)
Kudat – 1 (0)
Semporna – 0 (1)
Telupid – 0 (1)
Kunak – 0 (0)
Nabawan – 0 (0)
Tongod – 0 (0)
Kalabakan – 0 (0)