RANAU: Naomi @ Neomi Francis, calon bebas wanita bagi DUN Karanaan yang merupakan seorang peniaga kecil di Pekan Ranau, hari ini mengesahkan beliau telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Kota Kinabalu.
Permohonan semakan kehakiman itu mencabar tindakan Peguam Negara Malaysia yang memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 November 2025.
Naomi memohon agar tindakan Peguam Negara diisytiharkan tidak sah, tidak berperlembagaan dan dibuat atas alasan yang tidak relevan.
“Perjuangan ini bukan semata-mata tentang kerusi DUN, tetapi untuk memastikan hak dan maruah Sabah dikembalikan.
“Saya bukan ahli politik berduit atau disokong mana-mana parti besar, saya hanyalah seorang peniaga kecil yang membawa suara rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menyeru rakyat menyokong usaha ini yang dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan awam dan semangat sukarelawan.
Naomi sebelum ini pernah menang dalam kes berkaitan paksaan dan diskriminasi vaksin yang didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan Perkara 5 dan 8.
Beliau juga berjaya membela hak peniaga bumiputera tempatan di Bangunan Pasar Besar dan Bangunan Pasar Terbuka di bawah Seksyen 13 & 14 Akta Undang-Undang Kecil Pasar 1963.






