
PETALING JAYA – Gara-gara tidak berpuas hati dengan soalan ujian mendengar bagi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, segelintir calon pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikatakan menyerang halaman ulasan ‘Google’ sebuah pusat peranginan di Pahang.
Menurut laporan Kosmo!, perkara itu tular di media sosial hari ini.
Menerusi perkongsian di Facebook Huzaifah Afi, salah satu soalan yang diberikan merujuk kepada nama tempat berkenaan yang dikenali sebagai Salang Sayang Resort.
Sehubungan itu, ramai calon mendakwa ‘speaker’ (jurucakap) yang ditugaskan tidak menyebut perkataan tersebut dengan betul hingga menyebabkan ramai keliru.
“Tadi ujian mendengar, dia suruh tulis nama resort tu, ramai tak puas hati sebab ‘speaker’ tu cakap tak betul…
“Jadi ramai salah eja. Salam sayang la, sayang layang la. Mereka tak puas hati sebab tu bagi rating rendah kat resort tu,” katanya.
Sementara itu, meninjau hantaran pengguna di laman sosial mendapati orang ramai rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.
“Patut dan lama tak dengar senarai budak budak genius, pelajar dahulu nak hadap ujian hadap buku bukan telefon,” kata Mia Mieya.
“Alah pasal satu markah nak mengamuk, aku ‘addmath’ jawab suku daripada semua soalan pun rilek je,” ujar Hatsune Miku Mukminin.