BEIJING, CHINA – Pihak berkuasa penyiaran China menyekat siaran BBC World News dan mendakwa isi kandungan saluran itu melanggar peraturan dibenarkan.
Pentadbiran Televisyen dan Radio Kebangsaan China (NRTA) dalam satu kenyataan yang dipetik AFP memaklumkan bahawa laporan BBC World News didapati melanggar peraturan penyiaran termasuk keperluan berita yang seharusnya dilaporkan secara adil dan benar serta tidak mengancam kepentingan China.
Keputusan itu dibuat selepas BBC menyiarkan laporan berhubung kekejaman seksual dan penyiksaan terhadap wanita etnik minoriti Uighur pada 3 Februari lalu.Menurut kenyataan itu lagi, NRTA tidak membenarkan BBC meneruskan penyiarannya di China serta tidak akan menerima permohonan memperbaharui permit bagi tujuan penyiaran.
Sementara itu, jurucakap BBC memberitahu, agensi itu kecewa dengan langkah yang diambil China.
“BBC adalah agensi penyiaran dipercayai dunia dan kami melaporkan berita di setiap pelusuk dunia dengan adil serta tidak memihak,” katanya.
Dalam laporan penyiasatannya, BBC melaporkan dakwaan berhubung jenayah rogol, penderaan seksual dan penyiksaan ke atas wanita yang ditahan pihak berkuasa dekat Xinjiang.
Kumpulan hak asasi manusia mendakwa sekurang-kurangnya sejuta etnik Uighur yang ditempatkan di kem di Xinjiang, disiksa.
Kementerian Luar China bagaimanapun menafikan laporan BBC itu dan menyifatkannya sebagai berita palsu.