Cubaan Larikan Diri Gagal, Lima Warga Asing Ditahan Polis di Tawau

Cubaan Larikan Diri Gagal, Lima Warga Asing Ditahan Polis di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Tindakan pantas pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan sebuah kenderaan dinaiki lima individu warga asing yang cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya dalam kejadian kejar-mengejar sejauh lebih 45 kilometer pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, ketika kejadian kira-kira jam 8 malam, anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sedang menjalankan tugas sekatan jalan raya (snapcheck) di kawasan Industri Megah, Jalan Tiku, Tawau.

Terlihat sebuah kenderaan jenis Proton Saga berwarna Putih dalam keadaan mencurigakan dan diarahkan berhenti, namun, pemandu kenderaan tersebut bertindak nekad merempuh sekatan jalan raya dan melarikan diri.

“Pihak polis segera mengejar kenderaan tersebut dan melalui beberapa laluan utama sekitar daerah ini termasuk Jalan Timur, Kem Pengakap Tiku, Jalan Bunga Raya, Jalan Chong Thien Vun dan akhirnya menghala ke Jalan Apas sebelum berjaya ditahan di Batu 12, Jalan Apas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut menemui lima individu terdiri daripada seorang lelaki yang memandu kenderaan dan empat penumpang, dua lelaki dan dua wanita, kesemuanya dipercayai warganegara asing dan berusia antara 29 hingga 43 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia. Mereka juga gagal menunjukkan lesen memandu dan cukai jalan bagi kenderaan yang digunakan,” katanya.

Jelas ACP Jasmin, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 kerana melarikan diri daripada sekatan jalan raya, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki dan berada di Malaysia tanpa dokumen yang sah.

Selain itu, pemandu kenderaan terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 26 dan Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen serta tanpa cukai jalan yang sah.

Sementara itu, kejadian tersebut turut menjadi tular di media sosial khususnya di laman Facebook selepas orang awam merakam dan memuat naik video memaparkan aksi kejar-mengejar melibatkan sebuah Unit Kereta Peronda (MPV) dan tiga Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) dengan sebuah kenderaan jenis Proton Saga berwarna putih.

ACP Jasmin menjelaskan bahawa sepanjang kejadian kejar-mengejar itu, tiada sebarang kecederaan berlaku ke atas suspek mahupun anggota polis yang menjalankan tugas tersebut.

“PDRM memandang serius tindakan melanggar undang-undang dan menyeru orang ramai agar memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis terutamanya dalam operasi sekatan jalan raya,” tegas beliau.