
KOTA KINABALU, SABAH – Pengumuman kerajaan Persekutuan baru-baru ini yang akan melaksanakan cukai 10 peratus daripada pembelian dalam talian barangan akan menambah beban kewangan kepada kumpulan B40.
Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan berkata, ini kerana pembelian dalam talian barangan merupakan antara pilihan terbaik kepada golongan B40 untuk mengurangkan kos pembelian barangan keperluan.
Menurut beliau, sebelum ini pembelian dalam talian menjadi tumpuan kerana harga yang sangat berpatutan, mudah mendapatkan barangan berkenaan selain diskaun istimewa yang diberikan pada hari-hari tertentu.
“Ini terutamanya melibatkan alat ganti kenderaan lama, beberapa model kereta berubah dengan sangat pantas dan alat ganti kereta telah dihapuskan secara berperingkat di pasaran tempatan, jadi pembeli mempunyai pilihan untuk membeli dalam talian,” katanya menerusi satu kenyataan.
Justeru, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan semula sama ada untuk mengurangkan atau tidak mengenakan cukai dalam talian supaya pengguna B40 tidak terjejas dan membebankan kos sara hidup harian.
“Kita amat berharap kerajaan meneliti semula tindakan mengenakan cukai berkenaan kerana banyak jenis barangan merupakan bukan barangan mewah sebaliknya barangan keperluan dan kelengkapan harian.
“Kita mohon kerajaan memberi pertimbangan bagi melindungi kebajikan golongan B40 ini memandangkan mereka sudah cukup tertekan kenaikan banyak harga barangan khususnya makanan dan bahan mentah,” tambah beliau.