KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor hari ini memaklumkan bahawa semuanya baik-baik sahaja dalam keluarga GRS selepas dipercayai timbul isu ketidakpuasan hati beberapa pemimpin dalam gabungan tersebut baru-baru ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri telah mengadakan pertemuan minum petang dengan kesemua tujuh presiden dalam komponen GRS di Sri Gaya di sini hari ini, yang disifatkannya adalah mesra.
“Semua presiden telah berjanji untuk memastikan kemenangan GRS dalam pilihan raya akan datang.
“Saya menghargai pandangan dan pendapat mereka. Mereka semua adalah pemimpin politik yang matang dan memahami kepentingan GRS sebagai satu pasukan yang bersatu menjelang pilihan raya,” katanya.
Hajiji yang yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menghabiskan hampir tiga jam bersama Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam; Presiden Parti STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan; Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin; Presiden Parti Cinta Sabah Tan Sri Anifah Aman; Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee; Presiden Parti Liberal Demokratik, Datuk Chin Su Phin; dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah.
Turut hadir Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun.