PUTRAJAYA – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad meletak jawatan berkuat kuasa serta merta hari ini.
Dr. Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO meletakkan jawatan itu dibuat berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos yang lalu yang menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi di dalam Kerajaan Persekutuan…
“Saya percaya, kita telah berusaha melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan kehidupan manusia di seluruh dunia. Usaha ini akan saya teruskan walaupun tidak lagi menjadi Menteri Kabinet Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama warga Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pemegang taruh berkaitan kementerian yang banyak membantunya melaksanakan tugas.
Peletakan jawatan Noraini menyaksikan beliau menjadi menteri kedua daripada UMNO berbuat demikian selepas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar mengambil tindakan itu melepaskan jawatan sebagai ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.