KUALA LUMPUR – Astro mempersembahkan drama terbaru ‘Ternyata Sebuah Bahagia’ sebuah karya terbitan Suhan Movies yang memaparkan kisah seorang lelaki yang hampir dijemput ajal, diberi peluang kedua untuk kembali ke pangkal jalan dan kini berhadapan cabaran dalam membimbing keluarganya.
Drama siri ini bakal bersiaran di slot Tiara, pada 23 September, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang menerusi saluran Astro Ria (Saluran 104) dan strim menerusi platform On Demand, Astro GO dan Sooka.
‘Ternyata Sebuah Bahagia’ adalah sebuah kisah rumahtangga yang sarat dengan pesanan, tentang cabaran seorang lelaki dalam membimbing keluarganya yang sudah tersasar jauh dari landasan agama.
Elemen cinta tiga segi dan konflik kekeluargaan menjadi tunjang utama dalam naskhah ini.
Turut menghiasi karya ini ialah runut rasmi berjudul “Perisai Cinta” nyanyian Liza Hanim.
Penceritaan penuh emosi menerusi 40 episod ini adalah hasil sentuhan bersama pengarah Nur Ain Shariff & Ejump Mohd.
Drama ini menampilkan barisan pelakon handalan seperti Che Puan Sarimah Ibrahim sebagai Datin Jeanice, Zamarul Hisham sebagai Datuk Zamani, dan juga Datin Elvina Mohd sebagai Rhea. Turut dibantu Dewi Remaja Myra Afrina dan Lorenzo Irmann.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari, “Ternyata Sebuah Bahagia menampilkan barisan pelakon hebat, dan penulisan skrip yang mantap, yang mampu untuk memberi pengajaran dan hiburan pada penonton.
“Kisah rumah tangga yang digarap baik oleh pengarah beserta konflik yang mencengkam semestinya meruntun jiwa penonton.
“Kami mendengar permintaan penonton yang ingin melihat gandingan bersama Che Puan Sarimah Ibrahim dan Zamarul Hisham, ditambah dengan penglibatan Datin Elvina Mohamed yang disukai penonton Tiara melalui drama panjang sebelum ini,” katanya.